Saham atau hartanah?
Epal atau nenas?
Tiada yang sempurna. Setiap satu ada kelemahan dan kekuatan. Berikut saya senaraikan 5 perkara yang menjadi perbezaan utama antara pelaburan saham dan pelaburan hartanah.
1. Mudah
Beli saham adalah lebih mudah dari beli hartanah.
Tiada isu CTOS, CCRIS. Bayar RM 10 untuk buka akaun CDS, letak sejumlah modal dalam share trading account. Selesai proses tersebut, login online platform dan letak order buy.
Harga saham sama satu Malaysia. Dari Perlis sampailah ke Sabah.
Dalam bahasa teknikalnya kita kata pasaran saham lebih efisyen. Maka kos menjadi lebih rendah. (Bayangkan kos guaman untuk beli hartanah). Dalam pasaran hartanah, sukar untuk kita tahu apakah harga terakhir / harga semasa sesuatu hartanah. Saham, lihat sahaja harga saham terakhir ‘done‘
Namun, dalam kesukaran membeli hartanah ada peluang yang besar.
2. Cepat Jual Beli
Liquidity.
Beli saham bila tengok dah untung, login online platform, letak sell market order.
1,2,3… order filled.
Namun, masalah bila cepat dapat berjual beli kita pun jadi terlebih tamak. Untung sekali dah rasa hebat sangat dah. Cepat-cepat beli yang lain pula. Tapi kali ni rugi pula. Tepuk dahi.
Proses jual beli hartanah memang lambat. Tetapi pelaburan hartanah dapat mengawal ‘rasa tamak’ yang ada dalam diri kita dengan lebih baik.
3. Other’s People Time vs Other’s People Money
Beli saham bermaksud kita membeli sebahagian dari bisnes.
Jadi kalau tidak ada masa buat bisnes sendiri dari bawah, kita tengok syarikat-syarikat yang berkualiti di Bursa Malaysia dan kita beli sebahagian sahamnya. Sebagai pemilik syarikat, kita mempunyai CEO dan para pengurus kanan yang merupakan orang yang hebat-hebat belaka. Gunakan kepakaran mereka untuk menguruskan syarikat kita dengan lebih baik seterusnya menaikkan harga saham yang kita beli.
Pelaburan hartanah, kita adalah CEO-nya. Kita kena tahu taktik mengenal pasti perangai penyewa misalnya. Tapi bank lebih mudah nak beri hutang untuk beli rumah berbanding beli saham. Gaji cuma RM 3,000 tapi bank dapat beri kita sehingga 90% dari harga rumah yang kita mahu. Pelaburan saham mana nak dapat kemudahan tu?
4. Had Modal
Andaikan kita mempunyai RM 1 juta tunai.
Selepas kita membuat analisa syarikat, kita berminat beli saham syarikat Gula-Gula Getah Bhd. Tiada masalah untuk beli pemilikan saham bernilai RM 1 juta. Kita perhatikan syarikat tersebut baik-baik.
Manakala dalam pelaburan hartanah, andaikan rumah yang sangat bagus untuk dibeli harganya adalah RM 250,000. Jadi, kita masih ada RM 750,000 lagi untuk dilaburkan. Kalau banyak hartanah yang menarik mudah, tapi jika tidak?
Jadi jika kita dah membuat penyelidikan hartanah secukupnya dan menjumpai lubuk yang sesuai, kombinasi OPM membolehkan RM 1 juta digunakan untuk membeli hartanah yang barangkali bernilai RM 5 juta kesemuanya.
5. Tak Kena Tipu
Pasaran saham dikawal selia dengan ketat.
Maka penipuan pelaburan saham sukar dilakukan. Banyak pihak yang memantau. Kalau orang tu kata dia bukan syarikat Malaysia, maka sila semak dengan pasaran saham negara yang kununnya syarikat tersebut didaftarkan. Pasaran saham satu dunia mempunyai standard kawal selia yang hampir sama.
Pelaburan hartanah pula tiada kawalan.
Ya benar, terdedah kepada penipuan seperti hartanah tiada geran, hartanah tu bukan “penjual” punya atau projek terbengkalai. Namun disebalik tiada kawalan itu, sekali lagi wujud peluang yang besar.
Misalnya, ramai orang dapat berpakat mewujudkan kerjasama pelaburan hartanah. Namun untuk pelaburan saham, nak kutip modal dari orang ramai untuk tolong laburkan bagi pihak mereka sila lulus peperiksaan tertentu dan dapatkan lesen terlebih dahulu. Walaupun kita tak menipu, kita masih dapat kena tangkap sebab isu kawal selia yang ketat ini.
Jadi, apa pilihan kita?
Jika berminat untuk melabur dalam pasaran saham, sila klik link di bawah:
Ketahui cara melabur dalam pasaran saham gaya pelabur hensem